Thursday, May 23, 2013

Berapa Banyak Kuantiti Susu Untuk Bayi


Seringkali ibu-ibu menyuarakan kebimbangan susu badan yang dihasilkan tak cukup banyak untuk bayinya, lebih-lebih lagi bagi yang pertama kali bergelar ibu. Bertambah risau lagi bila bayi cuma menyusu sekejap je.
 
Sebenarnya kuantiti susu ibu yang diperlukan oleh bayi berbeza-beza mengikut usianya dan akan meningkat seiring dengan pertambahan usianya. Ibu-ibu boleh tengok pada gambar di bawah ni.


jumlah susu ibu yang bayi perlukan
Gambar kredit http://pregnant.livejournal.com

Kalau ibu-ibu perhatikan gambar di atas ni, kuantiti susu ibu yang bayi perlukan pada hari pertama cuma 5-7 ml. Jadi ibu-ibu jangan risau kalau susu badan pada hari pertama mempunyai kuantiti yang sedikit. Ibu-ibu boleh mengepam secara konsisten disamping mengamalkanpemakanan sihat dan makanan tambahan untuk memastikan susu badan yang dihasilkan bertambah dari hari ke hari memandangkan keperluan bayi juga akan meningkat seiring dengan pertambahan usianya. 
Gambar ni pula perbandingan saiz perut bayi.
 
saiz perut bayi

 

Usia 1 Hari

Saiz perut bayi yang berusia 1 hari hanyalah sebesar sebiji guli atau kacang badam. Kolostrum yang dihasilkan melalui susu awal ibu adalah sangat mencukupi walaupun sedikit kerana pada usia ini, bayi hanya memerlukan 5-7ml susu ibu atau setengah hingga sesudu makan bagi setiap sesi penyusuan. Manakala kolostrum ibu yang terhasil ialah antara 20-30ml. 
 

Usia 3 Hari

Pada hari ketiga, saiz perut bayi membesar kepada saiz sebiji bola pingpong dan dapat menampung kira-kira 22-27ml susu bagi setiap sesi penyusuan. Pada ketika ini keupayaan ibu menghasilkan susu badan mula meningkat. Jadi ibu-ibu usah khuatir soal susu badan yang tidak mencukupi.
 

Usia 10 Hari

Apabila masuk hari kesepuluh, saiz perutnya adalah sebesar sebiji telur ayam dan akan terus mengembang. Pada usia ini, bayi dianggarkan memerlukan susu ibu sebanyak 60-80ml pada satu-satu masa.
 

Usia 1 Bulan

Keperluan susu bayi akan mula meningkat apabila usia bayi mencecah 1 bulan. Dianggarkan bayi memerlukan kira-kira 90-120ml susu ibu pada setiap sesi penyusuan. Pada ketika ini, bayi sudah semakin mahir menyusu malah ibu sendiri tidak akan merasa kekok untuk menyusukan bayi dengan selesa. Susukan bayi dengan sepenuh hati dan belai bayi dengan penuh kasih sayang. Sentuhan kulit antara ibu dan bayi juga akan memudahkan ibu mengalami let-down reflex.
 

Usia 6 Bulan

Ibu-ibu boleh mula memperkenalkan bayi dengan makanan pejal namun penyusuan susu ibu masih perlu diteruskan untuk mengimbangi keperluan zat pemakanan bayi. Ini kerana pada usia ini, makanan pejal yang diberikan bukanlah makanan utama bayi. Pada usia ini bayi memerlukan sekitar 180-220ml susu pada setiap sesi penyusuan.
 

Usia 12 Bulan

Keperluan susu ibu oleh si kecil akan mula berkurangan kepada sekitar 550ml sehari. Pengambilan makanan pejal merupakan sumber utama zat yang diperlukan untuk tumbesaran si kecil. Oleh yang demikian, ibu-ibu harus pastikan pemakanan sehariannya adalah seimbang.
 
Hanya ibu yang mengetahui dengan lebih baik tentang keperluan bayinya. Jadi usah bimbang sekiranya bayi menyusu terlalu sekejap kerana bayi akan melepaskan puting payudara ibu dengan sendiri apabila sudah kenyang. Sentiasa berlapang dada dan yakinlah bahawa susu badan yang dihasilkan mencukupi untuk bayi.
 

No comments:

Post a Comment